TAIPING, 14 April (Bernama) -- "Saya nampak angin bergulung melanda rumah sebelum rumah bergegar dan alang rumah terangkat ke atas," menurut mangsa ribut Rohana Mohd Yazid, 53.
Rohana berkata ketika kejadian yang berlaku di sini kira-kira 3.45 petang semalam itu, adiknya Murni, 36, berada di rumah bersama suami dan anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun manakala beliau bersama ibu di kedai runcit berdekatan sebelum dihubungi adiknya.
"Saya bergegas pulang ke rumah dan ketika itu angin sangat kencang sebelum satu angin bergulung melanda rumah kami, Murni sempat menarik tangan anaknya masuk ke dalam rumah.
"Rumah rasa seperti bergegar dan alang bumbung rumah terangkat ke atas, apabila ribut dah melepasi rumah kami, suami Murni mematikan suis utama elektrik untuk elak perkara tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Taman Kaya, dekat sini.
Beliau berkata dalam sekelip mata rumah mereka mengalami kerosakan teruk pada bahagian dapur dan bilik selepas bumbung dan siling pecah.
"Banyak barang yang rosak seperti katil, buku persekolahan anak saudara, pakaian dan lain-lain peralatan rosak namun saya bersyukur tiada seorang pun ahli keluarga yang cedera.
"Buat masa ini kami sekeluarga tinggal di PPS ini buat sementara waktu dan laporan polis juga telah dibuat pagi tadi untuk tujuan pihak berkaitan selepas ini," katanya.
Sementara itu, Muhammad Azizul Hakim berkata beliau sedang membantu ibunya mengangkat kain di ampaian ketika tiba-tiba angin bergelung menderu ke arah rumah mereka.
"Masa itu saya tergamam dan tidak tahu berbuat apa-apa...pada masa itu mujurlah ibu terus menarik saya masuk ke dalam rumah untuk berlindung, saya hanya terdiam pada masa itu, memang berdebar dan sangat takut ketika itu," katanya menceritakan detik cemas itu.
S. Kalaikumaran, 44, dari Kampung Simpang pula berkata beliau bersyukur kesemua tujuh ahli keluarganya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bumbung rumah mereka diterbangkan ribut.
"Kami bernasib baik semua ahli keluarga tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku dan kebetulan ibu saya mengikut saya keluar membeli barang keperluan dapur.
"Mujurlah ibu pun mahu ikut sekali semalam, kalau beliau ada di rumah ketika itu entahlah saya pun tak dapat bayangkan apa yang akan terjadi, walaupun peralatan barang-barang dalam rumah musnah namun saya bersyukur tujuh ahli keluarga dalam rumah kami selamat," katanya.
Lebih 50 rumah terjejas apabila hujan lebat berserta angin kencang melanda beberapa kawasan di Perak Tengah dan daerah Larut, Matang dan Selama semalam.
Sebanyak 105 mangsa melibatkan 34 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya dan Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi setakat petang ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial