AM > BERITA

Tun Abdullah Meninggal Dunia - Khairy

14/04/2025 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam ini.

Perkara itu disahkan menantunya Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram hari ini.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Allahyarham berusia 85 tahun.

Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Abdullah telah dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.

Kenyataan itu memaklumkan Abdullah telah segera ditempatkan di bawah rawatan rapi di Unit Penjagaan Koronari (CCU) dan beliau dipantau rapi oleh pasukan pakar jantung IJN yang berdedikasi.

“Walaupun segala usaha perubatan telah telah dilakukan, beliau menghembuskan nafas terakhir dengan tenang, dikelilingi oleh insan tersayang,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dalam kenyataan yang sama berkata seluruh warga IJN bersama-sama kesedihan atas pemergian Abdullah.

“Menjaga beliau pada saat-saat akhir menjadi satu keistimewaan dan penghormatan. Sikap rendah diri dan budi pekertinya menyentuh hati ramai kakitangan kami dan kami merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga dan insan tersayang. Semoga beliau bersemadi dengan tenang, al-Fatihah,” katanya.

Pakar Perunding Kardiologi yang merawat Abdullah yang juga Ketua Jabatan Kardiologi Datuk Dr Azmee Ghazi berkata bekas Perdana Menteri itu sentiasa berada dengan kekuatan dalaman dan maruah yang tinggi.

“Malah pada detik-detik akhir beliau, Abdullah tetap tenang dan berbudi bahasa. Ia benar-benar satu penghormatan buat pasukan kami untuk berada di sisi beliau,” katanya.

Menurut kenyataan itu IJN dengan penuh hormat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abdullah dan memohon agar privasi mereka dihormati dalam tempoh berkabung ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa pihak keluarga dan Kerajaan Malaysia akan berkongsi maklumat mengenai urusan pengebumian serta pengumuman rasmi dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan