KOTA BHARU, 14 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menyumbang RM500,000 kepada Kerajaan Selangor sebagai tanda solidariti bagi membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor pada 1 April lepas.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata sumbangan itu mencerminkan semangat persaudaraan antara negeri dalam membantu rakyat yang ditimpa musibah, tanpa mengira sempadan geografi.
“Sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin dalam satu majlis ringkas di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor semalam,” katanya selepas merasmikan Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Dewan Putik, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mohamed Fadzli turut memaklumkan Kerajaan Kelantan menyumbang wang tunai RM5,000 dan barangan keperluan kepada tujuh keluarga rakyat Kelantan yang terjejas dalam insiden berkenaan.
“Alhamdulillah, tiada yang cedera kerana kebanyakan mereka pulang beraya ke kampung ketika kejadian. Namun, rumah mereka tetap terjejas akibat kebakaran itu,” katanya.
Kebakaran saluran paip gas milik Petronas pada 1 April lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial