CHUKAI, 14 April (Bernama) -- Pembangunan Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah di sini bukan sahaja menjadi simbol pemuliharaan alam sekitar, tetapi juga membantu merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata projek bernilai RM5.3 juta itu dimulakan pada 2019, dan siap sepenuhnya pada April tahun lepas.
Beliau berkata kos pembangunan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat bagi tujuan pemuliharaan, restorasi dan rehabilitasi kekal kelip-kelip di ekosistem Sungai Chukai.
“Projek ini dilaksanakan oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) melalui Program Pemuliharaan Landskap, Jabatan Landskap Negara dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman.
“Bagi menyokong usaha pemuliharaan habitat kelip-kelip, sejumlah 200 pokok bakau, 2,000 pokok berembang dan 500 pokok nipah ditanam di sepanjang Sungai Chukai,” katanya selepas merasmikan Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah.
Aiman Athirah berkata santuari yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jeti pelawat, pusat informasi dan perkhidmatan bot menyusuri sungai itu amat istimewa kerana diiktiraf sebagai antara lokasi kelip-kelip terunggul di Malaysia.
Beliau berkata ini kerana santuari itu menjadi habitat semula jadi kelip-kelip daripada spesies Pteroptyx tener yang unik kerana berupaya berkelip secara serentak.
“Fenomena ini amat jarang berlaku dan menjadi tarikan besar kepada peminat alam semula jadi serta ekopelancongan,” katanya.
Beliau berkata santuari itu juga akan berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan aktiviti sukarelawan pemuliharaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial