AM > BERITA

Ahmad Zahid, Fadillah Ucap Takziah, Sifatkan Pemergian Pak Lah Kehilangan Besar Negara

14/04/2025 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Perdana Menteri kelima itu, Ahmad Zahid berkata pemergian “Pak Lah” pastinya akan dikenang sebagai seorang negarawan berjiwa luhur, tenang dalam kepimpinan dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Sumbangan serta jasa beliau dalam membentuk asas pentadbiran berteraskan integriti dan prinsip Islam Hadhari, akan terus terpahat dalam lipatan sejarah negara.

“Saya secara peribadi amat terkesan dengan pemergian beliau. Tun bukan sekadar seorang tokoh negara, tetapi juga seorang mentor dan pemimpin yang amat saya hormati,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya malam ini.

Mengimbau perjalanan awal karier Ahmad Zahid, beliau memaklumkan Tun Abdullah banyak membuka ruang, memberi peluang dan berkongsi nasihat yang tidak ternilai.

“Bimbingan dan kepercayaan yang beliau berikan menjadi antara asas penting yang membentuk diri dan arah langkah saya hingga ke hari ini.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga,” katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi laman Facebook turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan senada menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada rakyat dan negara.

“Jasa dan kepimpinan beliau yang berlandaskan Islam Hadhari serta memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sepanjang menerajui kepimpinan negara antara 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, tetap dikenang selama-lamanya,” katanya.

Tun Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada pukul 7.10 malam ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan