IPOH, 14 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.29 juta sejak 2023 bagi kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan perumahan di Ipoh demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.19 juta diperuntukan bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan perumahan melalui Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) tahun ini.
“Kementerian akan menyalurkan sebanyak RM993,000 melalui PPP bagi melakukan kerja-kerja seperti baik pulih dewan dan rumah sampah berjumlah RM98,000 di Rumah Pangsa Jalan Hospital.
“Selain itu, kerja-kerja menurap jalan di Dewan Greentown berjumlah RM50,000, mengganti bumbung di Pangsapuri Seri Kepayang (RM500,000), menurap jalan di kawasan Pangsapuri Seri Kepayang (RM295,000), serta memasang lampu solar (RM50,000),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, beliau merasmikan program mengecat bangunan dan lif baharu di Rumah Pangsa Jalan Hospital dan Rumah Pangsa Seri Kepayang serta bagi menghadiri Jamuan Raya DUN Kepayang, di Ipoh semalam.
Selain itu, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, beliau turut menyumbangkan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf Medan Selera Seri Kepayang.
Dalam pada itu, beliau berkata ketika lawatanya ke Rumah Pangsa Jalan Hospital pada 10 Mac tahun lepas, keadaan infrastruktur perumahan itu kelihatan amat uzur dengan susur tangan yang berkarat serta cat bangunan yang pudar.
“Justeru KPKT telah memperuntukkan RM500,000 melalui PPP bagi melakukan kerja-kerja mengecat semula serta menggantikan susur tangan di rumah pangsa berkenaan bersama sumbangan tambahan sebanyak RM100,000 daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
“Kerja-kerja penyenggaraan di kawasan berkenaan telah disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, iaitu dalam tempoh 12 bulan, dengan penjimatan kos sebanyak 16 peratus,” katanya.
Nga berkata bagi PPR Seri Kepayang pula, pada awalnya kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi mengecat semula pangsapuri berkenaan, namun apabila mendapati lif-lif sering rosak, KPKT telah memperuntukkan RM3 juta bagi penggantian kemudahan berkenaan.
“Hasil pengurusan yang cekap, projek ini berjaya dilaksanakan dengan kos hanya RM2.61 juta, iaitu penjimatan sebanyak 13 peratus dan siap dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial