AM > BERITA

Tun Abdullah Pemimpin Banyak Berjasa Kepada Negara Dan Sabah - Hajiji

14/04/2025 10:27 PM

KOTA KINABALU, 14 April (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, malam ini.

Dalam kenyataan malam ini, Hajiji turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada negara, termasuk melancarkan lima Koridor Ekonomi Malaysia ketika pentadbirannya, antaranya Koridor Pembangunan Sabah (SDC) pada 2008.

“Antara objektif SDC adalah untuk menjadikan Sabah sebagai pintu masuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan; mewujudkan peluang pekerjaan; menjadikan negeri ini lebih celik teknologi serta sebagai negeri yang selesa didiami, harmoni tanpa mengira bangsa dan agama.

“Projek ini banyak memberi manfaat kepada pembangunan negeri. Dalam masa sama, Tun Abdullah yang memimpin negara selama enam tahun juga adalah pemimpin berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai,” katanya.

Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di IJN pada jam 7.10 malam dan perkara itu disahkan oleh menantunya Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Instagram.

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, selepas peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan