AM > BERITA

Sumbangan Pak Lah Kepada IPT Sentiasa Dikenang

15/04/2025 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Jasa dan sumbangan Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini, akan sentiasa dikenang.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah, merupakan alumni program Sarjana Muda Sastera (Pengajian Islam) pada tahun 1964, merupakan lambang kepimpinan berintegriti dan negarawan ulung yang amat disegani.

“Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah mencurahkan khidmat bakti yang tidak ternilai dan membina legasi kepimpinan berwawasan yang memberi impak besar kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Sebagai alumni UM, segala sumbangan, pencapaian beliau menjadi cerminan unggul nilai-nilai teras universiti iaitu kecemerlangan, kepimpinan dan tanggungjawab kepada masyarakat. UM amat berbangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal intelektual beliau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di laman Facebook turut merakamkan salam takziah kepada ahli keluarga Abdullah, dengan memaklumkan kampus barat iaitu kampus utama UNIMAS telah dirasmikan negarawan itu pada 18 April 2006.

“Beberapa inisiatif penting seperti penekanan terhadap Pembangunan Modal Insan dan Pengiktirafan Industri Halal telah dibangunkan dalam usaha beliau dalam memajukan Malaysia.

“Di bawah pimpinan beliau juga, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) juga telah dibangunkan bagi memacu ekonomi negeri dan seterusnya negara,” menurut kenyataan itu.

Laman Facebook rasmi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) masing-masing turut merakamkan dukacita atas pemergian negarawan yang disifatkan banyak berjasa membentuk dasar dan pentadbiran negara, berjiwa luhur, tenang dalam kepimpinan.

Sementara itu, laman Facebook Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memaklumkan akan melaksanakan solat jenazah ghaib bekas perdana menteri itu di Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM selepas solat Zohor pada esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan