KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Ketenangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah kekuatannya, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika mengimbau kembali mengenai Perdana Menteri kelima itu.
Azalina berkata sifat tenang dan aman yang dimiliki Allahyarham Abdullah memberikan keyakinan kepada ramai pihak, terutamanya generasi muda yang berkecimpung dalam politik.
“Karakter arwah sebagai seorang pemimpin yang sentiasa berpikiran ke hadapan, tidak mudah melenting dan tidak cepat marah serta yang sangat-sangat penting, selalu berfikiran positif terhadap semua orang,” katanya dalam temu bual telefon pada rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.
Azalina berkata gaya kepimpinan Allahyarham jarang ditemui pada pemimpin masa kini dan cara arwah menghadapi tekanan amat dikagumi oleh pengikutnya.
“Pengorbanan politik arwah untuk parti sangat memberi kesan kepada saya. Jika kita melihat sejarahnya dalam UMNO, beliau pernah menjadi menteri, kemudian diberhentikan, sebelum kembali menjadi Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya Perdana Menteri,” katanya.
Selain itu, Azalina berkata sikap tenang Allahyarham turut memberi semangat kepada generasi muda dalam politik.
“Saya bersama barisan kepimpinan Puteri UMNO yang mula-mula berkecimpung dalam politik, yang diwujudkan sebagai satu sayap baharu.
“Banyak peluang diberikan, bermula di peringkat negeri, kemudian di peringkat negeri dan parlimen. Itu adalah legasi beliau,” katanya sambil menyatakan Allahyarham memiliki kepercayaan yang tinggi terhadap kebolehan generasi muda untuk melibatkan diri dalam politik negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan Allahyarham Abdullah sebagai seorang pemimpin sederhana tetapi berwawasan tinggi dengan keutamaan diberikan kepada pembangunan modal insan sepanjang pentadbirannya.
Beliau berkata Allahyarham juga terkenal dengan pendekatan kepimpinan berakhlak tinggi dan tidak berkonfrontasi.
“Beliau tidak suka berkonfrontasi secara pidato. Sebaliknya, beliau lebih gemar menjelaskan perkara dengan tenang tanpa mencaci lawan politiknya. Itu menunjukkan karakter seorang anak agamawan yang mengutamakan peradaban dan nilai akhlak yang tinggi,” katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan pula menyifatkan Abdullah sebagai seorang pemimpin yang prihatin dan merendah diri, malah pernah mengejutkannya dengan sikap terpuji.
“Pada 2004 atau 2005, saya menganjurkan satu program Ponggal di Rawang, Selangor untuk mencipta rekod terbesar di Malaysia. Ketika itu, saya hanya menghantar sepucuk surat kepada Tun Abdullah dan kami terkejut apabila menerima balasan daripada beliau selain ucapan khas untuk majlis tersebut,” katanya.
Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berkata kepimpinan Abdullah yang sederhana tetapi tegas menjadikannya seorang negarawan tulen.
Katanya walaupun bergelut dalam suasana politik domestik yang mencabar, beliau kekal berwibawa dan dikenali sebagai ‘Mr Clean’ kerana dikatakan bebas daripada rasuah, selain ketegasannya dalam memerangi gejala tidak bermoral itu.
Terdahulu, Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pada pukul 7.10 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial