AM > BERITA

DUN Perak Bertafakur Hormati Pemergian ADUN Ayer Kuning

15/04/2025 11:07 AM

IPOH, 15 April (Bernama) -- Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini dimulakan dengan bertafakur bagi menghormati dan memperingati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada 22 Feb lepas.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika memulakan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Persidangan DUN Perak Ke-15 meminta ADUN dalam kalangan umat Islam untuk membacakan surah al-Fatihah sebagai penghormatan dan tanda ingatan atas segala jasa bakti Allahyarham.

"Pemergian Ishsam ketika baru berusia 58 tahun merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Perak, Dewan ini, dunia bola sepak, rakyat di Ayer Kuning, lebih-lebih lagi kepada balu dan dua anak Allahyarham, iaitu Puan Rozlita Abdullah serta Isnabil dan Iszul Imadi.  

"Semoga roh Allahyarham dilimpahi ihsan rahmat Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin. Beta bersama Raja Permaisuri dan ahli-ahli Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada Puan Rozlita Abdullah dan ahli-ahli keluarga Allahyarham; semoga mereka diberikan ketabahan, reda menerima penentuan Ilahi," titah baginda di sini hari ini.

Ishsam meninggal dunia selepas rebah ketika bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Feb lepas.

Allahyarham merupakan calon UMNO yang bertanding bagi kerusi DUN N48 Ayer Kuning pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,213 undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan