AM > BERITA

Mesyuarat Rangka Hala Tuju Keterjaminan Makanan Lebih Inklusif Di Putrajaya Semalam

15/04/2025 01:54 PM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Pembangunan industri ruminan negara bagi mencapai Kadar Sara Diri 25 peratus menjelang tahun 2030 dan pelaksanaan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Sektor Perikanan 2024-2030 antara inisiatif keterjaminan makanan yang dibangkitkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2025.

Mesyuarat berkenaan berperanan merangka cadangan hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih inklusif dan mencadangkan strategi berfokus kerajaan dalam menangani isu berkaitan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata mesyuarat yang berlangsung semalam itu turut membincangkan tentang pelaksanaan reformasi subsektor akuakultur menerusi penyelidikan dan pembangunan serta penggunaan teknologi moden.

"Mesyuarat kali ini memperincikan mengenai kesan peningkatan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat serta impaknya terhadap sektor agromakanan negara.

“Selain itu perbincangan turut melibatkan mengenai integrasi Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen strategik dalam dasar keterjaminan makanan negara (dimensi kepenggunaan) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penghargaan turut dizahirkan terhadap sinergi strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerana berjaya mengekang kenaikan harga, menjadikan tahun ini antara yang terbaik dalam sejarah kawalan harga menjelang musim perayaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan