KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Keberangkatan tiba baginda bersama anakanda, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mud'az pada 11.39 pagi disambut menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin di hadapan pekarangan Dewan Solat Utama Masjid Negara.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir pada Istiadat Pengebumian Negara bekas Perdana Menteri itu ialah beberapa pemimpin negara dalam dan luar termasuk Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Selain itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah bekas Perdana Menteri yang lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Lah’ akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat zuhur.
Terdahulu, jenazah dibawa keluar dari kediamannya di Bait Badawi, persiaran Tuanku Jaafar sekitar 8.10 pagi untuk dikafankan dan disolatkan di Masjid Negara.
Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam semalam dan IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Abdullah dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial