AM > BERITA

Miskin Tegar Di Sabah Catat Penurunan Ketara Hampir 90 Peratus

15/04/2025 04:49 PM

KOTA KINABALU, 15 April (Bernama) -- Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Sabah mencatatkan penurunan ketara sebanyak 89.9 peratus setakat 28 Feb lepas berdasarkan pangkalan data eKasih, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata dalam tempoh itu jumlah KIR dikategorikan sebagai miskin tegar telah berkurang kepada 1,464 berbanding 14,553 yang direkodkan pada 29 Feb tahun lepas.

Beliau berkata pembasmian miskin tegar di Sabah akan terus dipantau berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan iaitu pendapatan di bawah RM1,218, dengan mengambil kira purata saiz isi rumah 4.3 dan per kapita RM288 bagi satu ahli isi rumah.

“Data KIR ini bersifat dinamik, dengan perubahan status dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk perubahan bilangan ahli isi rumah, pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat seperti kematian atau perpindahan ke negeri lain.

“Kerajaan Sabah telah memulakan pemberian bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) pada 17 Feb 2025, dan langkah ini dijangka akan terus menyumbang kepada penurunan jumlah miskin dan miskin tegar dalam sistem eKasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Jannie Lasimbang (PH-Kapayan) yang bertanya jumlah penerima fasa satu Syukur 2025 dan apakah inisiatif lain untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai e-Kasih agar mereka juga mendapat bantuan sama.

Abidin berkata fasa satu Syukur 2025 melibatkan 72,060 KIR miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem eKasih setakat Dis 2024, dan setakat 1 April lepas 95 peratus telah menerima bantuan itu manakala selebihnya dalam proses kemas kini data.

“Bagi mereka yang tercicir atau tidak tersenarai dalam sistem eKasih, kerajaan negeri membangunkan Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) supaya mereka yang tercicir dan layak boleh memohon secara atas talian melalui sistem ini. 

“Selain itu, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) juga bekerjasama dengan pemimpin akar umbi seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah dalam mengenal pasti KIR di daerah masing-masing yang tercicir dan layak,” katanya.

Beliau berkata setakat 31 Mac lepas, sebanyak 270,272 permohonan diterima daripada pendaftaran melalui sistem PADANS, senarai UPPM dan Pejabat Daerah, serta sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan bagi proses verifikasi selanjutnya.

Abidin berkata kerajaan negeri terus berusaha melaksanakan intervensi bantuan miskin dan miskin tegar yang bersesuaian berlandaskan kepada lima teras utama iaitu intervensi bantuan perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan atau kewangan, keusahawanan, dan latihan

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan