AM > BERITA

Pemergian Pak Lah Kehilangan Besar Buat Sarawak - Fadillah

15/04/2025 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Pemergian bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi semalam bukan sahaja merupakan kehilangan besar kepada negara, malah turut dirasai oleh penduduk Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Perdana Menteri kelima itu banyak menyumbang kepada pembangunan Bumi Kenyalang, antaranya melalui inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang terbukti berjaya merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.

“Ini merupakan satu kehilangan besar buat kita. Allahyarham seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri dan negara ini.

“Bagi pihak diri saya, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta seluruh rakyat Sarawak, kami merakamkan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah dan seluruh keluarga Allahyarham,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Tun Abdullah di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Istiadat Pengebumian hari ini, Fadillah berkata segalanya berjalan lancar dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan istiadat tersebut.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan, pengurusan Masjid Negara, bahagian protokol dan semua yang terlibat hari ini,” katanya.

Tun Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam semalam.

Allahyarham selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang.

Sementara itu, menantu Tun Abdullah, Khairy Jamaluddin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat melancarkan upacara pengebumian bapa mentuanya hari ini.

“Terima kasih kepada semua pemimpin, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, kerabat diraja Negeri Sembilan, pemimpin dalam dan luar negara, pengurusan Masjid Negara serta semua yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Ramai menyatakan mereka mempunyai kenangan manis bersama Tun Abdullah, sewaktu Allahyarham menjadi Perdana Menteri dan menjyandang jawatan menteri,” katanya kepada pemberita selepas selesai Istiadat Pengebumian Negara.

Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadilah atas kehadiran mereka.

Penghargaan juga diucapkan kepada keempat-empat bekas perdana menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir di Masjid Negara hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan