AM > BERITA

Tun Abdullah Negarawan Sejati - Tun Musa Aman

15/04/2025 06:30 PM

KOTA KINABALU, 15 April (Bernama) -- Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah negarawan sejati yang mendedikasikan seluruh hidupnya berbakti kepada masyarakat dan usaha membina negara ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri kelima.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata Tun Abdullah merupakan pemimpin yang mudah didekati serta berwibawa dalam kepimpinannya dan lebih gemar menggunakan pendekatan ‘diplomasi senyap’ berbanding perdebatan politik secara terbuka.

“Saya masih ingat ketika saya menjadi Ketua Menteri Sabah, Allahyarham mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan berjaya mencatat kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum ke-11.

“Walaupun pentadbiran Allahyarham berdepan beberapa isu dan cabaran, beliau sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Tun Abdullah, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam, semalam.

Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang ini.

Tun Musa dan isterinya Toh Puan Faridah Tussin dalam kenyataan itu turut merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga Tun Abdullah atas pemergian Allahyarham.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nyalah kita akan kembali. Semoga Allah SWT mengurniakan roh Allahyarham Tun tempat tertinggi di Jannat-ul-Firdaus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan