AM > BERITA

Komitmen Pak Lah Kepada Kebebasan Media , Tanda Kepimpinan Berwibawa - Yong

15/04/2025 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Komitmen berterusan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi terhadap kebebasan media dan usaha reformasi institusi menjadi antara ciri menonjol kepimpinannya yang paling dikenang, menurut bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong.

Yong, yang juga Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), berkata sepanjang pentadbiran beliau, Tun Abdullah amat menitikberatkan aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban, khususnya dalam memperkukuh peranan media serta memperbaiki beberapa agensi penguat kuasa utama.

"Ketika itu, terdapat banyak kebimbangan dibangkitkan berhubung kebebasan media dan beliau turut mencadangkan pelbagai pembaharuan membabitkan beberapa agensi termasuk agensi antirasuah dan polis.

"Beliau memperjuangkan ketelusan supaya siasatan dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh dan keadilan dapat ditegakkan secara saksama.

“Bagaimanapun, terdapat tentangan hebat daripada pihak tertentu yang kurang senang dengan keterbukaan itu," katanya ketika ditemui dalam siaran khas Belasungkawa: Tun Abdullah Ahmad Badawi terbitan Bernama TV.

Allahyarham Tun Abdullah, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi, pada usia 85 tahun.

Jenazah Allahyarham disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara, pada jam 2.30 petang tadi.

Yong berkata gaya tadbir urus Tun Abdullah sentiasa berteraskan integriti dan pemikiran jauh ke hadapan dalam pembangunan negara serta menekankan pembinaan jati diri dan nilai menyeluruh.

“Beliau turut membawa gagasan kebebasan dalaman yang menjadi intipati di sebalik konsep Islam Hadhari – satu pendekatan seimbang dalam menjadi seorang Muslim yang baik atau bukan Muslim yang bertanggungjawab. Inilah Malaysia yang beliau bayangkan," katanya.

Mengulas visi Allahyarham dalam pembangunan ekonomi, Yong berkata pelbagai inisiatif berani telah dilaksanakan, termasuk penubuhan koridor ekonomi khas.

“Misalnya, Koridor Barat yang merangkumi laluan utama seperti Lebuhraya Pantai Barat adalah antara strategi beliau untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, khususnya demi manfaat komuniti di kawasan timur Semenanjung Malaysia," katanya.

Secara peribadi, Yong turut menzahirkan penghargaan kepada Allahyarham yang menyokong pelantikannya sebagai Ketua Pengarang Bernama.

"Ada kalanya beliau akan menghubungi saya dan menyatakan bahawa ada perkara yang perlu kita lakukan kerana laporan itu tidak dilihat disampaikan dengan baik dan Bernama sebagai agensi berita nasional adalah saluran terbaik untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh media lain.

"Beliau tahu di mana dan bagaimana untuk memastikan mesej sampai kepada khalayak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan