KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Malaysia dan Korea Selatan di landasan tepat untuk memeterai kerjasama mengenai infrastruktur dan pembinaan menjelang akhir tahun ini sekali gus menandakan satu lagi langkah penting hubungan dua hala dalam sektor berkenaan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerjasama yang sedang dimuktamadkan antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan (MOLIT) itu akan membuka jalan kepada kerjasama erat dalam pembangunan jalan raya, pemodenan infrastruktur dan teknologi pembinaan.
“Seminar ini merupakan hasil pertemuan saya dengan Menteri MOLIT Park Sang-woo pada November tahun lepas, dengan kami membincangkan mengenai pengurusan lebuh raya dan pembinaan,” katanya ketika berucap pada Seminar Kerjasama Teknologi dan Jalan dan Pembinaan Malaysia-Korea Selatan di sini hari ini.
Nanta berkata bagi memperkukuh kerjasama berkenaan, kedua-dua kementerian komited untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) tahun ini dengan tumpuan diberikan terhadap jalan raya, pembangunan infrastruktur dan teknologi pembinaan.
Hadir Sama Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae.
Seminar anjuran bersama Kedutaan Korea Selatan, KKR dan Persatuan Kontraktor Antarabangsa Korea Selatan (ICAK) menghimpunkan lebih 130 peserta termasuk pegawai kerajaan, pemain industri, penyelidik serta wakil agensi awam kedua-dua negara.
Seminar itu menampilkan pembentangan daripada institusi utama Korea Selatan, Korea Agency for Infrastructure Technology Advancement (KAIA) , Korea Expressway Corporation (KEC), Hi-Pass Korea dan Korea Institute of Civil Engineering and Building Technology (KICT) serta syarikat seperti S-Traffic dan DL E&C.
Di pihak Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) membentangkan kemajuan terkini mengenai infrstruktur jalan raya tempatan manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menggariskan strategi bagi meningkatkan pemindahan teknologi dan mobiliti antara kedua-dua negara.
Nanta berkata kerjasama ini adalah selaras dengan hasrat Malaysia di bawah Dasar Pembinaan Negara (DPN) 2030 yang memberi tumpuan kepada pengintegrasian teknologi dalam proses, piawaian dan budaya perniagaan, sekali gus menandakan satu ejen perubahan untuk sektor pembinaan Malaysia.
“Rekod cemerlang Korea Selatan dalam lebuh raya pintar dan infrastruktur hijau, bersama dengan penglibatannya dalam projek bersejarah Malaysia seperti Jambatan Pulau Pinang dan Menara Petronas, memperlihatkan manfaat kerjasama dua hala yang telah lama terjalin,” katanya.
Sejak 2018 hingga Mac 2025, syarikat Korea Selatan memperoleh 89 projek di Malaysia bernilai RM29.3 bilion. Pada 2024 sahaja, Malaysia mengimport bahan pembinaan bernilai RM349 bilion dari Korea Selatan, menjadi bukti hubungan ekonomi yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.
“Kerjasama ini telah memudahkan pertukaran teknikal dan sumber manusia yang signifikan, memupuk pertumbuhan bersama. Marilah kita menyatukan kebijaksanaan dan tekad kolektif kita untuk mencapai masa depan infrastruktur moden, lestari dan inklusif,” katanya.
Nanta berkata beliau akan menyertai Seminar Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) yang akan diadakan di Seoul, bulan depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial