AM > BERITA

Kesan Obesiti Dan Diabetes Terhadap Penyakit Hati Di Malaysia

16/04/2025 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Peningkatan kadar obesiti dan diabetes di Malaysia kini menjadi punca kepada lonjakan kes penyakit hati, dengan pakar memberi amaran mengenai kesan kesihatan jangka panjang yang serius sekiranya isu ini tidak ditangani segera.

Pakar Perundingan Perubatan Am dan Endokrinologi Sunway Medical Centre Sunway City Dr Lim Chong Wei berkata dua gangguan metabolik berkenaan secara signifikan meningkatkan risiko menghidap penyakit hati berlemak bukan akibat alkohol (NAFLD) yang boleh berkembang menjadi komplikasi hati serius.

Beliau berkata kedua-dua keadaan itu berkait rapat dengan NAFLD, iaitu lebihan lemak terkumpul dalam hati seterusnya menyebabkan keradangan, fibrosis dan sirosis.

Dr Lim menjelaskan bahawa NAFLD yang turut dikenali sebagai penyakit hati berlemak berkaitan disfungsi metabolik, sering kali merupakan penyakit senyap, dengan banyak pesakit tidak menyedari mereka menghidapnya sehingga mencapai peringkat lebih serius.

Beliau berkata diabetes terutamanya Type 2, mempercepatkan kerosakan hati dengan meningkatkan rintangan insulin dan pengumpulan lemak dalam hati, sekali gus menjadikan pengesanan awal dan langkah intervensi amat penting bagi mencegah komplikasi lebih serius.

"NAFLD telah menjadi punca utama penyakit hati kronik di seluruh dunia dan Malaysia, gabungan diet tinggi kalori, gaya hidup tidak aktif serta gangguan metabolik menjadi faktor utama peningkatan kes ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tahun lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa lebih separuh daripada populasi di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes, menurut penemuan utama Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.

Laporan itu menunjukkan kadar prevalens rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan obes telah meningkat kepada 54.4 peratus, berbanding 50.1 peratus pada 2019.

Laporan itu turut menekankan risiko berkaitan dengan masalah berat badan berlebihan atau obes, termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, kolestrol tinggi dan penyakit jantung.

Laporan NHMS 2023 juga mendedahkan bahawa hampir 2.3 juta orang dewasa di Malaysia menghidap tiga NCD secara serentak.

Dr Lim berkata walaupun peratusan kes NAFLD yang berkembang menjadi sirosis hati adalah rendah - dianggarkan sekitar satu hingga dua peratus - kadar kes NAFLD berkemungkinan meningkat disebabkan tabiat pemakanan moden dan gaya hidup semakin tidak aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Tanpa sebarang intervensi, kita mungkin akan menyaksikan peningkatan mendadak dalam jumlah kes, yang akhirnya membebankan kemudahan kesihatan negara,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa saringan awal amat penting terutama bagi individu yang mempunyai faktor risiko seperti obesiti dan diabetes.

“Saringan perlu merangkumi ujian darah untuk mengesan tahap enzim hati serta imbasan ultrabunyi abdomen bagi mengesan pengumpulan lemak dalam hati. Ujian mudah ini dapat membantu mendiagnosis keadaan sebelum kerosakan serius berlaku,” katanya.

Dr Lim juga menegaskan bahawa kebanyakan inidividu yang menghidap penyakit hati berlemak tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah ia berada di peringkat serius dan ini menjadikan pemeriksaan kesihatan berkala amat penting bagi mereka yang berisiko.

Bagi membendung krisis yang semakin membimbangkan ini, Dr Lim berkata adalah penting untuk mengamalkan perubahan gaya hidup termasuk pengambilan diet seimbang, aktiviti fizikal secara berkala dan mengekalkan berat badan sihat.

“Pesakit diabetes perlu menjalani pemantauan fungsi hati secara berkala kerana intervensi awal boleh mencegah komplikasi seperti kegagalan hati dan karsinoma hepatoselular (tumor utama hati),” katanya,

Bagi mereka yang telah disahkan menghidap NAFLD, beliau mencadangkan program pengurusan berat badan sasaran, peningkatan aktiviti fizikal dan kawalan gula dalam darah, selain menekankan penurunan berat badan sederhan sebanyak 5 hingga 10 peratus bagi mengurangkan lemak dan keradangan dalam hati secara signifikan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan