AM > BERITA

Malaysia-China Perkukuh Hubungan Melalui Kerjasama Penterjemahan Dan Penerbitan

17/04/2025 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) terus memperkukuh hubungan dua hala melalui pemeteraian kerjasama penterjemahan dan penerbitan karya-karya terbaik dari kedua-dua negara.

ITBM dalam kenyataan memaklumkan kerjasama melalui ITBM dan National Press and Publication Administration of the People’s Republic of China itu melibatkan penerbitan dan penterjemahan karya-karya klasik terbaik kedua-dua negara di bawah projek Asian Classics Translation Programme.

ITBM berkata pertukaran dokumen memorandum antara Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Presiden merangkap Ketua Pengarang Kumpulan Media China (China Media Group) Shen Haixiong yang diselaraskan oleh Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa (BPSHA) telah disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden China Xi Jinping. 

"Kerjasama berimpak tinggi dalam tempoh lima tahun ini merangkumi penterjemahan dan penerbitan 50 hingga 100 judul buku yang meliputi karya-kaya Sasterawan Negara, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award), karya Malaysiana dan karya-karya klasik tempatan serta karya-karya terbaik China yang akan diputuskan dalam perbincangan selanjutnya nanti," menurut kenyataan itu.

Inisiatif itu antara lain menggalakkan pertukaran judul bagi meningkatkan pemahaman silang budaya antara kedua-dua negara selain menjadi pengukuh hubungan sedia ada melalui diplomasi kesusasteraan. 

Terdahulu ITBM memaklumkan pemeteraian kerjasama berkenaan adalah susulan daripada kunjungan hormat dan pertemuan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku rakan strategik penerbitan dengan penerbit di China pada Jun tahun lepas.

Berikutan itu, ITBM bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini giat melaksanakan beberapa inisiatif berimpak tinggi dengan rakan kerjasama di China termasuk pembangunan projek sistem terjemahan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai MyTRANSLATE, hasil usaha sama antara ITBM dan UTM.

"Projek usaha sama yang dibawakan KPM melalui pelaksanaan oleh ITBM ini juga merupakan tanda sokongan dan penghargaan kepada hubungan diplomatik kedua-dua negara, di samping meraikan kunjungan Presiden China Xi Jinping dalam program lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia. 

"Pemeteraian kerjasama intelektual berimpak tinggi yang disaksikan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara ini diharap akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan membina sebuah persahabatan intelektual yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara," menurut ITBM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan