PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Malaysia secara rasmi mendapat kelulusan mengeksport buah kelapa segar ke pasaran China menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara semalam, sempena lawatan negara selama tiga hari Presiden China Xi Jinping ke negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini berkata kelulusan itu adalah hasil usaha gigih dan rundingan berterusan antara Malaysia dan China demi memperkukuh hubungan perdagangan yang sekian lama terjalin.
“Semalam menjadi detik bersejarah bagi sektor pertanian negara apabila berlangsungnya sesi pertukaran MoU antara Malaysia dan China, menerusi Protokol Keperluan Fitosanitari antara Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi Eksport Buah Kelapa Segar dari Malaysia ke China,” katanya.
Mohamad berkata pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Kelapa Segar dari Malaysia ke China antara KPKM dan GACC adalah penting bagi memastikan kebolehpasaran dan daya saing kelapa segar tempatan di pasaran China.
“Ia juga dapat mengukuhkan industri kelapa tempatan dengan menggalakkan amalan pertanian yang baik dan sistematik dalam kalangan pengusaha kelapa tempatan serta membuktikan komitmen kerajaan bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan hasil eksport pertanian negara,” katanya.
Justeru, Mohamad berkata kerajaan akan terus memastikan hasil pertanian tempatan mendapat tempat di pasaran antarabangsa, sekali gus memastikan rakyat dapat menjana pendapatan yang tinggi serta mengukuhkan ekonomi negara.
Semalam, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen yang meliputi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.
Antara yang menjadi tumpuan ialah MoU antara kerajaan Malaysia dan Agensi Berita Xinhua dari China dalam bidang berita dan maklumat.
Lawatan Presiden Xi ke Malaysia selama tiga hari bermula Selasa adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ini adalah lawatan rasmi kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara dipertingkatkan pada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial