KUANTAN, 17 April (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Program Pahang Lead menyasarkan untuk melahirkan 66 pemimpin muda berbakat dan berkualiti daripada 251,279 pelajar sekolah yang terpilih menyertai program itu tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi mencapai hasrat itu, pihaknya memperuntukkan RM2 juta untuk menjayakan program berkenaan tahun ini berbanding RM1 juta tahun lepas.
"Pada tahun ini kita menambah peruntukan itu kerana keberhasilan program sebelum ini dilihat amat baik dalam melahirkan pemimpin muda. Saya dimaklumkan mereka begitu bersemangat dan komited, ini selari dengan sasaran kita untuk melahirkan lebih ramai pemimpin memiliki jati diri dan semangat yang kuat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pahang Lead 2025 di Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang di sini hari ini.
Pahang Lead merupakan program inisiatif kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan, Akademi Kenegaraan Malaysia dan Yayasan Pahang sebagai rakan strategik.
Seramai 261,000 pelajar sekolah seluruh negeri disaring bermula peringkat pertama hingga keempat ketika kali pertama program itu dilaksanakan tahun lepas.
Selepas melalui saringan dan penilaian, seramai 55 pemimpin muda elit telah dikenal pasti memiliki jati diri tinggi, memahami aspirasi dan inisiatif dijalankan untuk mewarisi kepimpinan di Pahang dalam pelbagai bidang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial