AM > BERITA

Gangguan Bekalan Air UNIMAP Bukan Disebabkan Masalah Tekanan Paip Utama SAP

17/04/2025 07:08 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Gangguan bekalan air di Kompleks UniCITI Alam (KPUA) Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Sungai Chuchuh dekat Padang Besar, bukan berpunca daripada masalah tekanan paip utama milik operator Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan hari ini berkata sebaliknya gangguan itu berpunca daripada sistem perpaipan dalaman di premis universiti berkenaan.

SPAN berkata dapatan itu berdasarkan siasatan oleh SAP di kampus berkenaan pada 11 April dan pertemuan bersama pengurusan UNIMAP pada 14 April, susulan aduan diterima.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati bahawa tekanan bekalan air selepas meter utama (meter pukal) adalah mencukupi dan melebihi tekanan minimum ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

SPAN memaklumkan hanya sebahagian daripada enam blok kolej itu terjejas akibat gangguan bekalan air selepas meter pengguna (meter pukal), yang menjadikannya sebagai tanggungjawab pemilik atau pemaju premis berkenaan.

Bagaimanapun SPAN berkata SAP tetap mengambil langkah bagi membantu menangani isu tersebut dengan membuat pintasan sementara, iaitu tidak melalui meter air utama SAP bagi membolehkan blok terjejas mendapat bekalan air.

Selain itu SAP turut menghantar bekalan air menggunakan lori tangki dan mengepam air ke tangki sedia ada di kolej berkenaan.

Baru-baru ini, sebuah video berdurasi 48 saat tular di media sosial memaparkan pelajar di kolej itu melancarkan mogok selepas mengalami gangguan bekalan air, dipercayai masalah yang telah berlarutan hampir dua minggu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan