AM > BERITA

Misi Sediakan Hospital Medan Di Myanmar Ditangguh

17/04/2025 08:14 PM

TAPAH, 17 April (Bernama) -- Misi menghantar pegawai perubatan ke Myanmar untuk menyediakan Hospital Medan yang dijadualkan berlepas semalam, ditangguhkan atas permintaan pihak berkuasa negara berkenaan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan Myanmar memohon penangguhan itu kerana mereka masih mencari lokasi selamat dan strategik untuk operasi hospital sebagai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke negara berkenaan yang teruk dilanda gempa bumi pada 28 Mac lepas.

“Kawasan yang kita pergi ini adalah kawasan pemberontak dan bahaya, kita akan menghantar ramai pakar bedah serta pasukan perubatan dari Hospital Angkatan Tentera ke sana. Jadi, keselamatan mereka itu menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang meninjau gerak kerja jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Tiga di sini hari ini.

Mohamad berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatnya U Than Swe untuk menyatakan pendirian Malaysia yang tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan rakyat negara ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata misi kemanusiaan yang digerakkan itu tidak bermaksud Malaysia mengiktiraf kerajaan Myanmar sedia ada, sebaliknya demi membantu rakyat negara itu yang sedang berdepan kemusnahan besar.

Pada 15 April lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diatur gerak ke Myanmar, pada Rabu (semalam).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan