AM > BERITA

KPKT Tuan Rumah Empat Lagi Persidangan Utama ASEAN Tahun Ini - Nga

18/04/2025 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menjadi tuan rumah bagi empat lagi persidangan utama ASEAN tahun ini, sekali gus mengukuhkan kepimpinan Malaysia di peringkat serantau.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia sebagai tambahan kepada penganjuran Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) serta Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2025 yang dijadual pada Julai ini.

Beliau berkata tiga daripadanya ialah Forum Pembandaran Lestari ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 10 hingga 15 Ogos depan.

“Ia dijangka menghimpunkan lebih 8,000 peserta termasuk gabenor, datuk bandar, pembuat dasar dan penyelidik serta menyediakan platform penting untuk berkongsi pandangan, strategi dan penyelesaian kepada cabaran pembandaran.

"Selain itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN Ke-8 (ASCN 8) dari 8 hingga 12 Sept," katanya berucap pada pratonton AREC dan ARCHIDEX 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Prof Adjung Ar Adrianta Aziz dan Presiden C.I.S Network Sdn Bhd Datuk Vincent Lim.

Nga berkata ASCN 8 akan menghimpunkan wakil dari 34 bandar anggota termasuk tiga ahli baharu dari Malaysia iaitu Ipoh, Putrajaya dan Seberang Perai.

“Satu daripada agenda utama ialah pelancaran Pelan Tindakan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN 2026-2035 yang bermatlamat menyelaras pembangunan bandar di rantau ini dengan kemajuan teknologi, matlamat  kelestarian strategi pembangunan yang inklusif, ke arah mewujudkan bandar yang lebih pintar dan saling berhubungan di seluruh ASEAN.

“Kita turut memperluas peranan melangkau rantau ASEAN apabila Malaysia menawarkan untuk pencalonan sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026-2029, yang akan diadakan di Nairobi, Kenya pada Mei ini,” katanya.

Edisi ke-24 ARCHIDEX yang dianjurkan bersama PAM dan C.I.S Network Sdn Bhd dijadual berlangsung di KLCC dari 23-26 Julai, dan dijangka menerima kehadiran 56,000 pengunjung termasuk golongan profesional dan peminat bidang seni bina, reka bentuk dalaman dan pembinaan, serta peserta dari lebih 110 negara dan wilayah.

Persidangan selama empat hari itu turut dijangka menjana nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan