AM > BERITA

TikTok Shop Dan KPDN Perkenal Tip #ShopSafe, Cegah Penipuan Dalam Talian

18/04/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- TikTok Shop Malaysia, platform e-dagang yang dipercayai di negara ini, menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keselamatan pembelian dalam talian menerusi inisiatif #ShopSafe.

Menerusi kerjasama itu, TikTok Shop dan KPDN memperkenalkan tiga panduan utama sebagai langkah pencegahan penipuan siber yang semakin berleluasa dalam kalangan pengguna digital masa kini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kebanyakan penipuan e-dagang berlaku apabila transaksi dilakukan di luar platform rasmi, termasuk melalui pautan yang mencurigakan, nombor telefon atau pembayaran langsung yang tidak selamat.

Beliau berkata kempen ini memberi penekanan kepada kepentingan membuat semua pembelian dalam talian hanya melalui aplikasi TikTok Shop rasmi, menggunakan pilihan pembayaran yang sah bagi membolehkan transaksi disahkan serta dijejaki menerusi sejarah pesanan dalam aplikasi.

“Komitmen TikTok Shop dalam memperjuangkan hak dan keselamatan pengguna amat dihargai dan kami yakin kolaborasi ini mampu membina keyakinan pengguna terhadap keselamatan dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, pengguna turut diingatkan supaya tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi sensitif seperti kata laluan, nombor TAC atau maklumat kad bank dengan mana-mana pihak, termasuk mereka yang menyamar sebagai kakitangan TikTok Shop, pihak berkuasa atau institusi kewangan.

Sebagai langkah perlindungan tambahan, pengguna juga digalakkan mengaktifkan ciri pengesahan dua faktor dalam aplikasi TikTok, yang dapat melindungi akaun mereka sekiranya berlaku kebocoran maklumat.

Inisiatif #ShopSafe turut menggalakkan pengguna untuk melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan, produk palsu atau penjual yang melanggar polisi melalui fungsi laporan dalam aplikasi TikTok Shop, yang boleh diakses terus dari halaman paparan produk.

Sementara itu, Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan utama pihaknya.

Beliau berkata TikTok Shop terus melabur dalam teknologi dan tenaga kerja bagi memastikan rakyat Malaysia menikmati pengalaman membeli-belah dalam talian yang selamat dan bebas daripada kebimbangan.

“Dalam separuh pertama tahun ini sahaja, kami telah menolak sebanyak 20.4 juta percubaan penyenaraian produk dan dua juta pendaftaran akaun penjual yang tidak mematuhi piawaian keselamatan kami di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata TikTok Shop juga mempunyai Polisi Pemulangan dan Bayaran Balik yang kukuh bagi memastikan keadilan kepada pelanggan yang menghadapi isu selepas pembelian.

“Kami percaya bahawa membanteras penipuan dalam talian memerlukan kerjasama semua pihak, dan kerjasama berterusan dengan KPDN amat penting bagi mendidik pengguna serta membina komuniti digital yang lebih selamat,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai panduan dan langkah keselamatan yang ditawarkan TikTok Shop Malaysia, orang ramai boleh melayari https://www.tiktok.com/@tiktokshop_my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan