AM > BERITA

Adly Lawat Kawasan Operasi Sempadan Sarawak-Kalimantan

18/04/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) – Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari mengadakan lawatan kerja ke kawasan operasi sempadan Sarawak-Kalimantan bermula semalam hingga hari ini.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, lawatan kerja itu dilakukan di Pos Pa’Dalih, Pos Gabungan Malaysia-Indonesia iaitu Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG)  Ba'kelalan dan Pos Bario.

“Beliau telah diberikan taklimat operasi, termasuk status instalasi markas dan kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang berlangsung di kawasan operasi semasa lawatan kerja berkenaan.

“Melalui lawatan ini, Adly diberikan pendedahan dan gambaran yang jelas berkenaan keadaan perjalanan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia dalam Operasi Jagakawan.

“Lawatan itu juga untuk melihat keadaan kehidupan seharian dan menyantuni warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di perbatasan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan turut menghadiri majlis ramah mesra bersama dengan agensi keselamatan setempat dan penduduk kampung berdekatan di sekitar Daerah Bario di samping menyantuni dua keluarga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) di Daerah Baram.

Ketika menyantuni keluarga veteran ATM, Adly turut berkesempatan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM)  kepada seorang bekas tentera dan bantuan makanan ikan kepada seorang usahawan yang juga bekas tentera yang mengusahakan projek penternakan ikan air tawar.

“Lawatan ini satu daripada aktiviti di bawah Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara, iaitu Cegah Rintang Berpadu seperti yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020-2030,” menurut kementerian.

Strategi berkenaan bertujuan melindungi kepentingan negara, terutamanya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah dengan menghindar daripada sebarang bentuk pencerobohan dan konflik.

Menurut kenyataan itu, pertahanan negara dilaksanakan sepanjang kawasan lapisan berpadu meliputi domain darat, maritim, udara dan siber elektromagnetik.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan