AM > BERITA

UiTM Diminta Teliti Pedagogi Susulan Isu Kostum KKK - Zambry

19/04/2025 12:53 AM

PETALING JAYA, 18 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta Universiti Teknologi Mara (UiTM) meneliti aspek pedagogi (kaedah dan prinsip pengajaran) di institusi itu berikutan isu pelajar berpakaian menyerupai kostum kumpulan pelampau bangsa yang tular baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pedagogi dalam pembelajaran perlu mengambil kira perkara-perkara berkaitan dan mempunyai sensitiviti tertentu. 

“Mungkin ada beberapa pandangan yang telah diberikan. UiTM telah pun menjelaskan perkara yang sebenar dan juga langkah-langkah yang mereka akan lakukan,” katanya kepada pemberita selepas Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) Siri kelima di sini, malam ini.

Zambry turut menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk beliau sebagai menteri masuk campur dalam semua perkara kontroversi melibatkan mahasiswa dan institut pengajian tinggi.

“Saya rasa ia satu benda yang tidak matang nak minta kita masuk campur semua. Tetapi yang paling mustahak adalah apabila ada isu seperti ini, UiTM mempunyai tanggungjawab untuk jelaskan kepada masyarakat,” katanya. 

UiTM menerusi kenyataan pada Rabu menjelaskan pelajar berpakaian kostum mirip ahli kumpulan Ku Klux Klan (KKK) itu adalah sebahagian daripada tugasan akademik oleh pelajar Pusat Asasi UiTM bagi sesi pembentangan kursus Contemporary Global and Legal Issues.

Menurut universiti itu tugasan berkenaan bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa dan pensyarah serta pihak fakulti terlibat turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal, berlandaskan prinsip akademik tanpa menyentuh sensitiviti agama, budaya mahupun perkauman.

Semalam, polis mengesahkan telah menerima satu laporan pada Rabu berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan penuntut pusat asasi UiTM kampus Dengkil berpakaian menyerupai kostum ahli kumpulan KKK.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan