AM > BERITA

Kerajaan Persekutuan, Negeri Perlu Sedia Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi Global - PM Anwar

19/04/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Seluruh jentera kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri perlu bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menegaskan agar semua perancangan harus segera diterjemah kepada pelaksanaan demi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara.

“(Langkah itu) sebagai persediaan terhadap sebarang kejutan atau tindakan luar yang mengganggu kelangsungan kita,” kata beliau dalam hantaran di laman X beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan barisan pimpinan peringkat Persekutuan dan negeri itu.

Selain itu, Anwar berkata mesyuarat itu turut membentangkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta insentif cukai Bank Pembangunan Sarawak yang berpotensi memperkukuh ekonomi negeri dan menjana limpahan manfaat kepada rakyat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.

Perkara lain yang turut dibincangkan adalah hala tuju serta keutamaan projek-projek pembangunan di Sarawak agar diselaraskan dengan perancangan Persekutuan.

“Semoga usaha bersama ini terus menyuburkan kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh warga Bumi Kenyalang,” kata beliau.

Untuk rekod, pada 3 April, pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif minimum 10 peratus ke atas import dari semua negara di bawah dasar perdagangan timbal balik dan tarifnya.

Negara anggota wilayah Indochina ASEAN merupakan antara yang paling terjejas akibat tarif itu dengan Kemboja dikenakan gabungan tarif dasar dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).

Thailand dikenakan tarif sebanyak 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia masing-masing sebanyak 24 peratus, Filipina 17 peratus, manakala Singapura pada tarif asas 10 peratus.

Bagaimanapun, tarif timbal balik itu kini ditangguhkan sementara selama 90 hari, kecuali tarif ke atas China.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan