ALOR SETAR, 20 April (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap sebuah kilang memproses tempurung kelapa bagi menghasilkan arang di Kubang Pasu, semalam.
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata tindakan itu diambil selepas mendapati kilang berkenaan telah menyebabkan pencemaran udara dan menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.
"JAS menerima aduan berhubung pencemaran udara itu Jumaat lepas dan hasil siasatan mendapati aduan itu adalah berasas. Kilang itu dikenakan tindakan POK di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 atas kegagalan menyediakan unit cerobong dan alat kawalan pencemaran udara di dalam premis semasa aktiviti pembakaran tempurung kelapa bagi penghasilan arang dijalankan.
"Tindakan POK tidak dapat dibuat serta merta pada hari siasatan dijalankan (Jumaat) kerana keadaan peralatan yang masih panas dan boleh membahayakan pegawai penguat kuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata tindakan POK itu diambil bagi menghentikan pencemaran dan kilang berkenaan diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran.
"Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 AKAS 1974 dikeluarkan kepada kilang itu untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK. Kilang itu akan dibenarkan beroperasi semula selepas JAS Kedah berpuas hati dengan langkah pembaikan yang diambil.
"Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekitar," katanya.
Sharifah Zakiah berkata orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial