PEKAN, 20 April (Bernama) -- Seramai 1,725 bakal jemaah haji di Pahang pada tahun ini menerima sumbangan wang saku berjumlah RM750 setiap seorang.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif itu bermula pada 2023 yang sebelum ini menyaksikan setiap jemaah haji menerima RM500 dan jumlah berkenaan meningkat kepada RM750 pada tahun lepas.
"Menerusi program Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kluster agama, antara inisiatif yang kita beri perhatian ialah program Barakah Haji Pahang dan kali ini melibatkan peruntukan RM1.66 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji dan penyampaian IM Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al Haj di sini hari ini.
Selain wang saku, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang turut menyumbangkan pek makanan khas 'Juadah Makmur ' iaitu makanan dalam bentuk pek retort yang praktikal, mudah dibawa, tahan lama dan sesuai dijadikan bekalan untuk jemaah haji.
Beliau juga melancarkan penerbitan buku Himpunan Doa Arafah oleh kerajaan negeri yang turut diberikan kepada bakal jemaah haji sebagai panduan ketika berada di Tanah Suci.
Seramai 1,725 bakal jemaah dari Pahang berusia antara 16 dan 83 tahun akan bersama-sama 31,600 jemaah Malaysia untuk menunaikan ibadah haji pada musim ini.
Wan Rosdy bersama keluarga juga dijadualkan bakal berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu pada 30 Mei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial