JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Ibu kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan di lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, di sini malam tadi, reda atas pemergian anak-anaknya itu selepas pulang dari beraya.
Asilah Minhat, 38, yang telah berpisah dengan suaminya berkata Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan Ammar Saifullah,15, menemui ajal dalam kemalangan selepas beraya di Bukit Tiram, di sini.
"Sebelum kejadian, dua anak saya ini tiada sebarang perubahan sikap...sama sahaja. Saya reda dengan pemergian mereka berdua, sudah puas menangis," kata ibu tunggal itu ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.
Beliau berlkata Nuraisyah Amalin baharu selesai menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sementara Ammar Saifullah merupakan pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Ulu Tebrau.
Beliau berkata jenazah mereka dikebumikan hari ini di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau selepas Zohor.
Dua beradik yang menaiki motosikal Honda itu maut kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dalam kejadian kira-kira 9.50 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial