AM > BERITA

Banjir 2024: Kelantan Catat Kerugian RM139 Juta, Tertinggi Di Seluruh Negara

21/04/2025 06:16 PM

KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Kelantan mencatatkan kerugian kerosakan harta benda kediaman sebanyak RM139 juta akibat banjir tahun lepas, tertinggi di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan daerah Pasir Mas merekodkan kerugian terbesar dengan RM46.2 juta, diikuti Tumpat (RM31.7 juta) dan Kota Bharu, RM19.2 juta.

Nor Hisham berkata data berkenaan perlu dianalisis secara menyeluruh oleh JBPM Kelantan bagi merancang tindakan yang lebih berkesan, termasuk pengagihan tenaga kerja, kesiapsiagaan aset serta pelan tindak balas kecemasan yang bersesuaian

“Kerugian besar ini menekankan kepentingan strategi pengurusan bencana dan usaha mitigasi yang berkesan di peringkat negeri," katanya pada Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata keseluruhannya data DOSM menunjukkan banjir yang melanda negara pada 2024 telah menyebabkan kerugian RM933.4 juta.

Sementara itu, Nor Hisham berkata tahap kesiapsiagaan JBPM telah dipertingkatkan di seluruh negara susulan perubahan corak cuaca yang dijangka membawa hujan lebat setempat pada waktu petang, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat.

“Kami telah mengeluarkan amaran awal kepada semua pasukan bomba di lapangan agar lebih bersedia, terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Banjir kilat biasanya memberikan impak yang lebih besar berbanding banjir monsun kerana ia berlaku secara tiba-tiba dan tidak memberi banyak masa kepada penduduk untuk membuat persediaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan