KANGAR, 22 April (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini bertitah sebanyak 113 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) siap dilaksanakan di Perlis sehingga 25 Mac lepas yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.8 bilion.
Baginda bertitah sebanyak lima buah masjid di sekitar negeri itu dibina dan dibaik pulih dengan menggunakan peruntukan di bawah RMK12.
"Bagi RMK13 pula, kerajaan negeri telah mengemukakan 61 cadangan projek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.3 billion di bawah pelbagai kementerian.
"Projek-projek yang dimohon ini adalah selari dengan dasar-dasar sedia ada yang menyokong kepada kebajikan dan keperluan rakyat serta untuk kepentingan bersama," titah baginda ketika berkenan merasmikan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan keyakinan baginda bahawa Sanglang Port akan dibina dan beroperasi dalam tempoh RMK13 ini.
"Kesemua fasa pembangunan ini akan menjadikan negeri Perlis dalam tahun yang mendatang menyaksikan perubahan sektor ekonomi yang lebih progresif," titah baginda.
Raja Perlis juga bertitah agar ahli-ahli DUN terus membantu kerajaan negeri dalam menggiatkan promosi kepada pelabur untuk melabur ke negeri itu melalui kerjasama erat dengan agensi pelaburan peringkat Persekutuan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).
"Pembangunan projek secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) juga boleh diterokai dengan lebih mendalam lagi sekiranya ia menjanjikan pulangan yang berbaloi kepada negeri," titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial