AM > BERITA

Sabah, Sarawak Tingkat Kerjasama Kawal Selia Keselamatan Peralatan Elektrik, Gas

22/04/2025 06:27 PM

KOTA KINABALU, 22 April (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menjalin kerjasama dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), antara lain bagi mewujudkan penyeragaman dalam kawal selia peralatan elektrik serta kelengkapan gas di kedua-dua negeri.

Kerjasama strategik itu dijalin menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECoS selaku agensi bertanggungjawab ke atas kawal selia aktiviti pembekalan tenaga di Sabah dan MUT iaitu pihak berkuasa kawal selia bagi aktiviti pembekalan elektrik, bekalan air, dan pengedaran gas di Sarawak.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata ECoS telah mengambil pelbagai inisiatif terutama dalam sektor tenaga, termasuk melancarkan Label Keselamatan ECoS-SIRIM versi terkini demi memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai satu langkah proaktif ECoS untuk melindungi kepentingan pengguna, termasuk memastikan hanya peralatan elektrik dan gas selamat serta berkualiti tinggi akan dipasarkan di negeri ini.

"Kerjasama strategik ini sangat penting dan menzahirkan pengiktirafan bersama terhadap keselamatan peralatan elektrik dan gas serta menekankan peranan ECoS dalam memastikan produk yang digunakan oleh rakyat memenuhi piawaian tertinggi," katanya.

Hajiji berkata demikian pada majlis menandatangani MoU itu dan pelancaran Label ECoS-SIRIM serta pelancaran program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Angkat ECoS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

Hajiji berkata usaha itu juga menunjukkan satu lagi bidang kerjasama untuk manfaat bersama hasil pertalian erat yang sedia terjalin antara Sabah dan Sarawak, melalui kedua-dua badan berkuasa pengawal selia masing-masing.

"Saya yakin dengan termeterainya MoU ini akan memperluas pasaran produk berkualiti dan diiktiraf bagi kemudahan pengguna dan peniaga kedua-dua negeri," katanya sambil menambah kerajaan Sabah menyokong dan amat mengalu-alukan usaha ECoS bersama Sarawak dalam aspek itu.

Hajiji optimis penubuhan ECoS membuka lembaran baharu dalam pengurusan sektor tenaga di Sabah. 

Dengan kuasa pengawalseliaan dimandatkan melalui lunas undang-undang, Hajiji berkata ECoS perlu terus komited untuk memastikan pembangunan sektor tenaga yang teratur dan cekap, menyokong  pembangunan ekonomi Sabah serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan