AM > BERITA

Kerajaan Sarawak Ulangi Sokongan Terhadap Sekolah Persendirian Cina

22/04/2025 06:47 PM

SIBU, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak mengulangi komitmen untuk menangani kebimbangan sekolah persendirian Cina di negeri itu dan menekankan penyelesaian inklusif serta konstruktif kepada cabaran di hadapi sektor tersebut.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn mengakui isu seperti kemampanan kewangan, latihan guru dan perihal kurikulum adalah penting dan wajar diberi perhatian serius.

“Isu ini tidak diabaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog awam bersama wakil sekolah persendirian Cina di Sekolah Menengah Wong Nai Siong di sini hari ini. 

Walaupun pendidikan terletak bawah bidang kuasa Persekutuan, Sagah menegaskan kerajaan Sarawak kekal teguh dalam memperjuangkan dasar inklusif dan memupuk kerjasama bermakna, yang disesuaikan dengan keperluan pendidikan negeri. 

“Kami memahami cabaran dihadapi sekolah persendirian Cina. Menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, kami akan terus meneroka cara untuk bekerjasama sebagai sebuah keluarga besar, mempromosikan kerjasama, menawarkan sokongan serta mengukuhkan kapasiti bersama untuk kemudahan pelajar,” katanya. 

Beliau menekankan bidang berpotensi bagi tujuan itu termasuk pembangunan infrastruktur, pengiktirafan pencapaian pelajar dan program perkembangan guru secara bersama.

“Kerajaan Sarawak komited untuk membina jambatan (kerjasama),” katanya.

Menyifatkan sesi dialog awam itu sebagai lebih daripada sekadar mesyuarat, Sagah berkata ia berfungsi sebagai penegasan semula nilai bersama yang memfokus kepada meningkatkan taraf pendidikan anak muda Sarawak. 

Beliau menekankan sekolah persendirian Cina adalah sebahagian daripada ekosistem pendidikan Malaysia dan bukan “orang luar”, selain turut menyeru kepada penglibatan berterusan, saling menghormati dan kemajuan bersama. 

Pertemuan itu juga menandakan langkah penting ke arah kerjasama lebih kukuh antara kerajaan negeri dengan komuniti sekolah persendirian Cina di Sarawak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan