KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Sebanyak 6,172 kenderaan dari Thailand direkodkan memasuki Malaysia menerusi tiga pintu sempadan utama di Kelantan sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA), iaitu dari 24 Mac hingga 8 April lepas, manakala 5,506 kenderaan direkodkan keluar dalam tempoh sama.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata daripada jumlah berkenaan, pintu sempadan Rantau Panjang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,771 kenderaan masuk dan 2,149 keluar, diikuti Bukit Bunga (1,909 masuk, 1,966 keluar) serta Pengkalan Kubor (1,489 masuk, 1,391 keluar).
“Sepanjang musim perayaan ini, pergerakan kenderaan dari Thailand berjalan lancar dengan tahap pematuhan peraturan yang tinggi. Tiada sebarang kesalahan berkaitan dokumen Permit Edaran Antarabangsa (ICP) dikesan sepanjang tempoh tersebut.
“Walaupun fokus utama JPJ ketika ini adalah pelaksanaan Ops HRA 2025, penguatkuasaan terhadap kesalahan melibatkan kenderaan asing tetap dijalankan menerusi Ops Tunggak, yang mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM76,950 daripada 277 saman yang dikeluarkan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada ICP, gagal mempamer atau menyerahkan dokumen itu serta mempamerkannya tidak mengikut ketetapan, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta pelbagai kesalahan teknikal lain.
Mohd Misuari menegaskan JPJ Kelantan akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan dari Thailand bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta memastikan pematuhan terhadap semua peraturan dan undang-undang di negara ini.
“Keselamatan dan kelancaran trafik adalah keutamaan kami, terutama ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan rentas sempadan.
“JPJ menyeru semua pengguna jalan raya, termasuk pelancong dan pemandu asing, agar terus mematuhi undang-undang serta membawa dokumen sah bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial