PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Kabinet hari ini memutuskan Kementerian Luar menjadi penyelaras bagi pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan China baru-baru ini, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah mengarahkan agar MoU yang ditandatangani semasa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini dilaksanakan segera.
“Arahan Perdana Menteri adalah semua MoU ini perlu segera dilaksanakan dan Kabinet telah memutuskan bahawa Kementerian Luar akan menjadi kementerian yang akan menyelaras pelaksanaan bagi MoU yang telah ditandatangani ini.
“Perancangan kerajaan adalah untuk pastikan kesemua MoU yang telah ditandatangani dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata antara yang disentuh dalam satu daripada Mou berkenaan adalah berhubung cadangan Twin Hub antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Henan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan hari ini berkata kerjasama itu sejajar dengan kepentingan bersama kedua-dua negara dan dijangka dapat meningkatkan kapasiti logistik udara serantau di samping memudahkan hubungan ekonomi yang lebih erat.
Sebelum ini media melaporkan bahawa Anwar dan Xi telah menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen, yang meliputi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.
Ia berlangsung semasa Presiden Xi mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 15 hingga 17 April lepas atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Lawatan ini adalah kunjungan rasmi kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial