AM > BERITA

Pahang Sedia Kurang Kadar Premium Tanah Bagi Pelaksanaan Projek Pembangunan Untuk Rakyat 

24/04/2025 03:35 PM

KUANTAN, 24 April (Bernama) -- Kerajaan Pahang sedia memberi pengurangan kadar premium tanah kepada kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan sebarang projek pembangunan melibatkan rakyat. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini termasuk dalam pembangunan bangunan baharu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, dengan beberapa perbincangan telah berlangsung, termasuk bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. 

“Bila ada permohonan projek pembangunan daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri akan mengenakan premium sewajarnya (dan) selepas itu kerajaan Persekutuan boleh mengemukakan rayuan.

“Kita sudah dapat rayuan dan akan pertimbangkan serta beri jaminan pengurangan kadar premium sewajarnya untuk pembangunan HTAA. Kita tidak pernah tidak mempertimbangkan rayuan, lebih-lebih lagi projek melibatkan orang ramai seperti pembinaan hospital, sekolah dan sebagainya,” katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Mohd Fadzli Mohd Ramly (ADUN Lantikan) jika kerajaan negeri bercadang mengurangkan kadar premium yang sangat tinggi kepada kadar nominal bagi membolehkan pembangunan HTAA disegerakan. 

Menjawab soalan tambahan Mohd Fadzli mengenai kepadatan HTAA, Wan Rosdy berkata pembangunan berkaitan hospital itu antara projek diberikan keutamaan, dengan kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM500 juta untuk pembinaan bangunan dengan kapasiti 446 katil. 

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak memaklumkan keluasan tanaman kelapa di negeri ini direkodkan sebanyak 3,672 hektar dengan jumlah pengeluaran 27,287 metrik tan (MT) setahun pada tahun lepas. 

Namun beliau berkata jumlah pengeluaran itu masih belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa.

“Justeru kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi merancakkan pembangunan industri penanaman kelapa antaranya Program Tanaman Semula dan Penanaman Baru iaitu menggalakkan penanaman varieti kelapa produktif seperti kelapa Matag,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Su Keong Siong (PH-Ketari) yang ingin tahu perkembangan isu kekurangan kelapa tua dan rancangan serta usaha kerajaan negeri untuk membangunkan industri penanaman tanaman itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan