GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Tun Ramli Ngah Talib yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan mempunyai pengalaman dan pencapaian yang cukup luas dalam dunia politik dan pentabiran negara.
Anak jati Pasir Salak, Perak yang dilahirkan pada 16 Mac 1941 itu telah membuktikan kebolehan kepimpinannya apabila menjawat jawatan Menteri Besar Perak kelapan selama 17 tahun, dari 1982 hingga 1999, sekali gus menjadikan beliau sebagai Menteri Besar Perak paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri berkenaan.
Kerjaya politiknya bermula pada 1978 apabila dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah dan seterusnya dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Selepas meninggalkan pentadbiran negeri, Ramli terus menyumbang di peringkat nasional sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak bermula 2004 dan dalam penggal pertamanya sebagai wakil rakyat, beliau diberi kepercayaan untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebelum menjawat jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.
Beliau juga pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2000 hingga 2004, dan kepimpinannya dalam UMNO juga terserlah apabila beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak selama 16 tahun iaitu dari 1984 hingga 2000 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama lebih dua dekad.
Dari sudut akademik, Ramli mendapat pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar yang berprestij dan kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Queen’s University, Belfast sebelum ditauliahkan sebagai Barrister-at-Law dari Lincoln’s Inn, London.
Ketika berada di United Kingdom, beliau turut aktif dalam Kesatuan Pelajar di Belfast dan menjadi editor majalah Kesatuan Melayu United Kingdom.
Selepas kembali ke tanah air, Ramli menjadi Pensyarah Undang-undang di Institut Teknologi MARA (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA atau UiTM) dan juga pensyarah sambilan di Universiti Malaya pada awal tahun 70-an.
Pada 1971, beliau dilantik sebagai penasihat undang-undang dalaman pertama Lembaga Letrik Negara yang kini dikenali Tenaga Nasional Berhad (TNB), seterusnya menjadi peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya selain mengasaskan firma guaman Kadir, Tan & Ramli pada 1977.
Dalam tempoh yang sama, beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu dan LLN.
Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan, berkuat kuasa 1Mei 2025.
Terdahulu beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Pada istiadat sama, beliau turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.
Beliau menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Raza, 76, yang memegang jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bermula 1 Mei 2021 dan Ramli merupakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang keempat yang bukan berasal dari negeri ini
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial