AM > BERITA

KPWKM Kerjasama Rapat Dengan PDRM Dapatkan Maklumat Kes Rogol, Sumbang Mahram Di Kelantan

25/04/2025 01:15 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat mengenai trend peningkatan ketara kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata hubungan seumpama itu menjadi keutamaan kepada KPWKM sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, atau meneliti kaedah bersesuaian untuk menangani perkara itu.

“Kami (KPWKM) sedang bekerjasama dengan PDRM untuk dapatkan maklumat dan data sahih berhubung perkara ini sebelum keluarkan sebarang kenyataan.

“Sebab apa yang kami keluarkan adalah berdasarkan kepada data yang diberikan oleh pihak polis berdasarkan kepada hasil siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media pada 9 April lepas berhubung pendedahan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengenai jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan yang menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun.

Mohd Yusoff dilaporkan berkata 252 kes direkodkan pada 2024 berbanding 206 kes pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 22.3 peratus, dan apa yang membimbangkan ialah ada dalam kalangan pelaku terlibat terdiri daripada remaja berumur seawal 10 tahun.

Terdahulu dalam ucapan pada perhimpunan itu, Nancy berkongsi pencapaian Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS), yang sehingga kini telah menyelesaikan 27 daripada 38 aduan gangguan seksual dalam masa 60 hari.

“Ini pencapaian besar, tetapi kesedaran rakyat perlu terus diperkasa,” katanya.

TAGS ditubuhkan untuk menerima aduan bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac 2024 dan menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil bagi mengendalikan aduan dengan cepat, mudah dan kos minimum bagi mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku bagi mendapatkan hak tebus rugi akibat gangguan yang dialami.

Berkongsi gerak kerja yang telah dilaksanakan KPWKM dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Nancy berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Negara serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara telah menyantuni lebih 600 mangsa terlibat.

“Dari pembukaan dua pusat perlindungan sementara (PPS) dalam masa singkat, bantuan makanan dan emosi hingga sokongan psikososial oleh 20 sukarelawan dan 13 pegawai psikologi, ini semua bukti kecekapan kita semasa berhadapan dengan krisis,” katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas yang berlaku pada 1 April lepas, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan