AM > BERITA

Naik Taraf: LTSAS Kini Mampu Tampung 700,000 Penumpang Setahun - MAHB

25/04/2025 06:22 PM

IPOH, 25 April (Bernama) -- Bangunan terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini yang telah selesai dinaik taraf kini mampu menampung sehingga 700,000 penumpang setahun berbanding 500,000 sebelum ini.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata skop kerja menaik taraf LTSAS termasuk peluasan terminal, penambahbaikan kawasan daftar masuk dan ketibaan, serta kemudahan imigresen yang lebih efisien. 

“Selain itu, LTSAS kini ditingkatkan dengan infrastruktur keselamatan seperti pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penambahbaikan dan Penaiktarafan LTSAS di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Projek berjumlah RM8 juta itu dilaksanakan bawah komitmen MAHB dalam usaha menaik taraf kemudahan penerbangan negara, demi keselesaan dan kemudahan pengguna pada masa hadapan.

Mohd Izani berkata setiap penambahbaikan dilakukan berlandaskan strategi yang menyeluruh daripada kejuruteraan infrastruktur hingga perancangan aliran penumpang, yang dirangka untuk menyokong hala tuju Dasar Pengangkutan Negara serta matlamat pembangunan negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sementara itu, MAHB dalam kenyataan memaklumkan projek pengoptimuman LTSAS yang merupakan inisiatif menyeluruh bertujuan meningkatkan fungsi lapangan terbang serta kapasiti dan keselesaan keseluruhan kini telah selesai secara rasmi.

Menurut kenyataan itu antara peningkatan utama di LTSAS adalah peluasan ruang terminal daripada 2,927 meter persegi kepada 3,257 meter persegi yang telah secara efektif menggandakan kapasiti penumpang semasa waktu puncak daripada 240 kepada 510 penumpang setiap jam.

"Untuk menyokong peningkatan ini, setiap ruang menunggu telah diperluaskan daripada 71 meter persegi kepada 270 meter persegi dengan kerusi baharu dipasang bagi menampung sehingga 80 peratus permintaan semasa waktu puncak.

"Ruang pelepasan pula menyaksikan kaunter imigresen ditambah kepada empat berbanding dua sebelum ini dengan infrastruktur sedia ada mampu menyokong penambahan dua autogate dalam masa terdekat. Di ruang ketibaan pula, jumlah kaunter telah dinaik taraf daripada empat kepada enam, dengan kemudahan untuk dua autogate tambahan pada masa hadapan," katanya.

Menurut kenyataan itu kemudahan untuk penumpang telah dipertingkatkan dengan pengubahsuaian tandas, selain jumlah mesin pemeriksaan keselamatan ditambah kepada lima untuk meningkatkan kecekapan pemprosesan dan meminimumkan masa menunggu.

LTSAS kini mengendalikan perkhidmatan penerbangan harian oleh AirAsia ke Johor Bahru dan Scoot ke Singapura.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan