AM > BERITA

Malaysia Dipilih Semula Ahli Majlis Pentadbir SIAP

25/04/2025 07:34 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan komuniti antarabangsa apabila berjaya dipilih semula sebagai ahli Majlis Pentadbir Institut Perangkaan untuk Asia dan Pasifik (GC SIAP) bagi penggal 2025-2027, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pemilihan itu menandakan penggal kedua berturut-turut Malaysia sebagai ahli Majlis Pentadbir, selepas penggal 2023-2025.

Proses pengundian berlangsung sempena sesi Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) ke-81 di Bangkok, Thailand, yang dianggotai oleh 53 negara di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata Malaysia menerima sokongan padu dan undian memberangsangkan daripada negara anggota rantau Asia dan Pasifik. 

“Pelantikan semula Malaysia mencerminkan pengiktirafan dan keyakinan berterusan komuniti antarabangsa terhadap peranan aktif serta sumbangan signifikan Malaysia dalam memperkukuh ekosistem statistik di peringkat serantau dan global, khususnya menerusi kepimpinan DOSM.

“Ia juga membuka ruang strategik untuk Malaysia terus memperluas jaringan kerjasama, memperkasakan pembangunan kapasiti statistik dan menyumbang secara lebih aktif kepada agenda statistik serantau dan antarabangsa,” katanya.

Pelantikan semula Malaysia ke GC SIAP pada 2025 juga amat bertepatan dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, yang bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan”.

Mohd Uzir berkata penyertaan aktif dalam SIAP akan memperkukuh peranan Malaysia dalam memperjuangkan statistik yang inklusif, memacu dasar berasaskan data, serta menyokong pembangunan mampan di peringkat serantau. 

Beliau berkata Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem statistik negara dan serantau, menyokong dasar berasaskan data, memodenkan statistik melalui penerapan transformasi digital, data raya dan kecerdasan buatan (AI), serta membangunkan modal insan berkemahiran melalui Institusi Latihan Statistik Malaysia (ILSM).

“Malaysia komited untuk terus bekerjasama erat dengan semua ahli majlis dalam memperkukuh pembangunan statistik yang inklusif dan mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), mempertingkat tadbir urus data dan memperluas kerjasama strategik di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif SIAP,” katanya.

SIAP ditubuhkan pada 1970 dan kemudiannya diiktiraf sebagai sebuah institusi serantau di bawah naungan ESCAP pada 1995.

SIAP yang berpangkalan di Chiba, Jepun berperanan sebagai pusat latihan statistik profesional bagi pegawai kerajaan dari negara membangun, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan kapasiti sumber manusia melalui penyediaan latihan teknikal dan praktikal di peringkat Asia dan Pasifik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan