KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Seluruh rakyat Malaysia perlu mensyukuri nikmat perpaduan yang dikecapi di negara ini dan ia mesti terus dipertahankan, titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda bertitah tatkala banyak tempat di serata dunia menghadapi konflik bersenjata dan peperangan sehingga menyebabkan kematian ribuan orang, Malaysia masih bertuah menikmati keamanan.
“Kita seharusnya bersyukur atas nikmat ini. Mungkin kerana kita tidak bertarung nyawa mengelakkan diri daripada bom, ada dalam kalangan kita yang sengaja mengapi-apikan isu sehingga menegangkan perhubungan etnik berbeza di negara kita.
“Semoga Allah SWT terus melindungi negara kita dan memberi kita kedamaian serta perasaan kasih sayang di antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia,” titah Raja Permaisuri Agong menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Dalam hantaran sama, Raja Zarith Sofiah turut berkongsi semula nukilan Seri Paduka Baginda pada 2018 mengenai isu tapak kuil India di Subang Jaya.
Dalam nukilan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan kesedihan Seri Paduka Baginda sekeluarga berikutan pemergian Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, dan perasaan dukacita itu ditambah kerana berlakunya sikap tidak bertolak ansur dan salah faham antara kaum pada waktu itu.
Raja Zarith Sofiah turut berkongsi keakraban keluarga diraja itu dengan empat individu berbangsa India dan turut menzahirkan penghargaan kepada mereka iaitu keluarga diraja Datuk Subramanyam Balan dan Datuk Singaraveloo; Aide De Camp Sultan Johor Datuk Sugumaran, serta pegawai istana dikenali sebagai Mohan yang sentiasa membantu di saat memerlukan.
“Kami suami isteri mempunyai ramai sahabat-sahabat dari pelbagai bangsa.
“Tetapi, buat masa ini, kerana berlakunya ketegangan melibatkan kaum India di Malaysia, saya mencoret naskah pendek ini untuk menunjukkan bagaimana kami sekeluarga menghargai perkhidmatan, persahabatan dan kesetiaan keempat-empat orang ini. Ribuan terima kasih daripada keluarga saya kepada mereka,” titah Seri Paduka Baginda dalam nukilan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial