Oleh Wong Chun Wai
KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Saya ada berita buruk untuk pengulas politik Amerika Bill O’Reilly yang menyangka rakyat Malaysia ‘tidak cukup makan’, dakwaan yang menyusul selepas kenyataan awalnya rakyat Malaysia miskin, dalam percubaannya untuk memperlekehkan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
Kami bukannya sedang berlapar seperti yang anda ingin percaya, sebaliknya masalah kami di sini adalah ramai yang makan berlebihan, kami ada terlalu banyak makanan yang enak-enak belaka.
Veteran media berumur 75 tahun itu mencadangkan, oleh kerana pendapatan perkapita rakyat Malaysia yang rendah, susah bagi rakyat Malaysia untuk membeli topi kecil sekalipun dari China, memandangkan pendapatan perkapita isi rumah di Amerika lapan kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia.
“Nak beli makanan bungkus pun tak dapat di Kuala Lumpur, nak makan pun susah. Jadi, tuan perdana menteri (Anwar) ... Saya doakan yang terbaik untuk anda,” katanya dalam video Youtube.
Sebenarnya dia tidak layak pun mendapat respons daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana Menteri Kabinet kita atas kenyataan penghinaan terbarunya itu.
Minggu lepas Anwar menempelak O’Reilly kerana kenyataannya baru-baru ini mengenai Malaysia dan Asia Tenggara, dengan menyifatkan kenyataan pengulas politik itu sebagai sombong dan jahil.
Perdana Menteri berkata ulasan itu bukan sahaja menggambarkan betapa O'Reilly tidak faham mengenai realiti semasa di Asia Tenggara, malah ia juga menyerlahkan pandangan dunia sempit yang dibentuk oleh agenda perkauman dan ideologi penjajah.
Namun kita tidak boleh membiarkan O'Reilly pergi begitu sahaja tanpa sebarang respons, tak gitu?
Sungguh ironis apabila dia mengatakan orang Melayu atau rakyat Malaysia miskin dan kelaparan, sedangkan media, termasuk South China Morning Post melaporkan bahawa Malaysia adalah negara yang obses dengan makanan.
Organisasi berita yang berpangkalan di Hong Kong itu menyifatkan rakyat Malaysia makan berlebihan, dengan separuh daripada orang dewasanya mengalami masalah berat badan berlebihan.
Realitinya ialah terdapat peningkatan dalam bilangan rakyat Malaysia yang mengalami berat badan berlebihan dan obes dalam dekad yang lepas, menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata ramai rakyat Malaysia makan berlebihan dan menikmati hidangan berat pada waktu lewat malam.
Tinjauan Kementerian Kesihatan juga menunjukkan bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia, termasuk 41.8 peratus remaja dan 33.5 peratus orang dewasa, mengambil makan malam yang berat sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Ia bukan sesuatu yang dibanggakan oleh rakyat Malaysia, tetapi kita mempunyai terlalu banyak makanan yang enak. Malah pelancong luar datang ke Malaysia untuk hidangan yang pelbagai dan lazat.
Malaysia tidak akan dirujuk sebagai tempat syurga makanan tanpa sebab yang kukuh, dengan CNN sentiasa memilih Malaysia sebagai destinasi makanan.
O’Reilly telah mengatakan bahawa dia pernah melawat Malaysia sebelum ini, tetapi tidak dinyatakan bila.
Namun dia sekali lagi ‘terbabas’ dengan faktanya apabila dia mendakwa bahawa bekas presiden Amerika Barack Obama dibesarkan di Malaysia.
Fakta sebenar ialah Obama yang berkhidmat sebagai Presiden Amerika dari 2009 hingga 2017, menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Indonesia. Hello - Indonesia ya, bukan Malaysia. O’Reilly, cuba selidik dulu.
Newsweek pula melaporkan rakyat Amerika semakin susah, kerana mereka sememangnya semakin bertambah miskin.
USA Today melaporkan bahawa satu kaji selidik yang diterbitkan pada 21 April lepas mendapati 53 peratus rakyat Amerika percaya keadaan kewangan peribadi mereka semakin bertambah buruk.
Berdasarkan angka mutakhir, pada tahun 2023, statistik menunjukkan bahawa 12.6 peratus penduduk AS atau purata 42.1 juta orang sebulan mendapat bantuan makanan daripada kerajaan, yakni bantuan yang diberikan kepada kelompok berpendapatan rendah atau langsung tiada pendapatan.
Rata-rata rakyat Amerika sedang bergelut dengan bil rumah mereka, kerana mereka menjadi lebih miskin, hanya kelompok elit Amerika yang berkuasa, dan media, seperti O'Reilly, yang tidak dapat melihatnya atau sengaja enggan melihatnya.
Rakyat Amerika yang rentan ini pastinya tidak akan membeli topi, kerana ia bukan barang keperluan.
Ini juga kerana mereka terpaksa bersusah-payah demi sesuap nasi.
-- BERNAMA
*Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai, yang telah berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama lebih 40 tahun, kini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial