AM > BERITA

Pelajar B40 Cemerlang Terima Tajaan MARA Lanjut Pengajian

25/04/2025 10:29 PM

TANAH MERAH, 25 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju untuk menawarkan tajaan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin berpendapatan rendah Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, untuk menyambung pelajarannya di dalam atau luar negara.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tawaran kepada bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa yang memperoleh 9A itu, berikutan kisah hidupnya yang tinggal bersama keluarga angkat sejak bayi.

“Pelajar ini antara penerima Program Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) sepanjang dua tahun di MRSM Pengkalan Chepa.

“Kita juga menyediakan tajaan luar negara MARA di bawah program Young Talent Development untuk pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk dihantar ke luar atau dalam negara,” katanya kepada pemberita menerusi panggilan telefon selama 30 minit bersama Puteri Nur Ain Zulaikha di Perumahan Kusial Baru, di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata pelajar dan penjaga berkenaan juga turut akan mendapat tajaan penerbangan daripada UMNO Tanah Merah, bagi menghadiri Majlis Himpunan Pelajar Tajaan BUDI yang memperoleh keseluruhan A SPM 2024 yang dijangka berlangsung dua minggu lagi, di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Puteri Nur Ain Zulaikha ditawarkan pembiayaan penuh perbelanjaan menyambung pelajaran peringkat seterusnya, termasuk di luar negara.

“Saya melihat semangat dan potensi besar yang ada pada Puteri Nur Ain Zulaikha, justeru dengan keputusan cemerlang yang diperoleh, MARA sedia membantu merealisasikan impiannya,” katanya.

Sementara itu, Puteri Nur Ain Zulaikha berkata dia bersyukur dan berterima kasih dengan penawaran pengajian ke luar negara, sekali gus mencapai impian dan minat mendalam terhadap bidang Fizik Kuantum.

“Saya bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang Fizik Kuantum di Jepun dan kesedaran tercetus setelah saya membuat bacaan dan kajian mengenainya. Keputusan SPM diumum semalam merupakan hadiah buat keluarga angkat yang banyak berkorban menjaga saya,” katanya.

Remaja itu berkata sejak dilahirkan sehingga kini dijaga oleh empat keluarga angkat dan pada ketika ini tinggal bersama abang angkatnya Mohamad Airul Roslan, 35, dan isteri Nur Fatihah Saad, 26, yang bekerja sebagai penjual ikan untuk menyara keluarga.

“Sebelum ini, saya tinggal bersama bapa angkat dan selepas dia meninggal dunia, saya dijaga pula oleh nenek angkat, kemudian dua tahun selepas itu nenek pula meninggal dunia.

“Saya kemudiannya dijaga oleh bapa saudara selama beberapa tahun sebelum hak penjagaan diambil alih oleh abang angkat, memandangkan pada ketika itu bapa saudara mempunyai ramai tanggungan, selain isterinya menghidap penyakit lumpuh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan