AM > BERITA

Penggabungan Lembaga Air Di Sarawak beri Manfaat Kepada Petugas - Julaihi

26/04/2025 01:01 PM

SIBU, 26 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak memberi jaminan langkah menggabungkan tiga lembaga air utama di negeri itu menjadi satu entiti tunggal akan membawa manfaat kepada semua petugasnya.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata penggabungan Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan Sarawak Water Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Lembaga Air Kawasan Utara - LAKU) dilakukan dengan pendekatan yang dirangka khas mengikut acuan negeri ini.

"Proses penggabungan kini di peringkat akhir dan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan nama serta melancarkan secara rasmi entiti tunggal itu Jun ini," katanya pada majlis Jamuan Tahunan dan Ramah-Tamah Aidilfitri LAS di sini malam tadi.

Beliau turut memberi jaminan petugas yang terlibat akan menerima tawaran lebih baik termasuk skim pencen, gaji yang lebih menarik serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jika masih ada yang risau, tidak perlu bimbang kerana kerajaan sentiasa menjaga kebajikan anda dan tahu apa yang terbaik untuk semua,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Besar LAS Abdul Malik Abdullah @ Itin Langit serta Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Jafri Lias.

Dalam perkembangan lain, Julaihi berkata kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Salim sedang dijalankan yang akan meningkatkan kapasiti loji itu daripada 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD, menjadikannya projek naik taraf loji air tunggal terbesar di Sarawak setakat ini.

“Naik taraf ini penting kerana permintaan semasa untuk bekalan air bersih di Sibu kini mencecah 200 MLD. Dengan penambahan kapasiti ini, ditambah dengan sumbangan LRA Bukit Lima (45 MLD) dan LRA Sungai Sadid (4 MLD), margin rezab bekalan air di Sibu dapat ditingkatkan kepada 30 peratus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan