AM > BERITA

Penjawat Awam Dinasihat Berhati-hati Tangani Isu Sensitif - KPPA

26/04/2025 03:28 PM

SEREMBAN, 26 April (Bernama) -- Penjawat awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila melibatkan isu sensitif kepada negara termasuk perkara berkaitan Jalur Gemilang.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Jalur Gemilang  adalah lambang kemegahan negara yang seharusnya dijulang dan dijaga sebaiknya.

"Perkara ini sebenarnya seolah-olah macam bersambung-sambung... sebelum ini pihak akhbar, sekarang Kementerian Pendidikan (KPM).

"Jadi, nasihat saya kepada penjawat awam supaya kita lebih berhati-hati apabila melibatkan perkara (yang) ada sensitiviti kepada negara kita seperti bendera atau pun perkara menyentuh 3R (agama, kaum dan institusi raja)...saya harap ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Majlis Sambutan Raya MADANI bersama penduduk Kampung Seri Menanti, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam (PCK JPA) Puan Sri Dr Azlifah Bahari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Pada Khamis lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata tindakan sewajarnya akan diambil berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas laporan lengkap diperoleh. 

Shamsul Azri berkata Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminuddin Hassim telah diarahkan menyediakan laporan lengkap berhubung insiden itu.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan berkata keputusan mengenai pelaksanaan hari rehat mingguan (HRM) untuk anggota bomba akan diputuskan selepas mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 

"Cadangan ini, JPA baharu terima daripada KPKT dan kita akan kenal pasti dahulu perkara yang boleh dibantu untuk permohonan mereka. Sekiranya permohonan itu ada asas kukuh dan jelas, tiada sebab untuk tidak membenarkan," katanya. 

Wan Ahmad Dahlan turut memohon semua pihak agar bersabar kerana perkara melibatkan dasar baharu memerlukan penelitian menyeluruh sebelum dilaksanakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan