AM > BERITA

PM Anwar Rakam Penghargaan Terhadap Pengorbanan Warga TLDM

26/04/2025 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas jasa dan pengorbanan tidak ternilai mereka dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Anwar berkata selama lebih sembilan dekad, TLDM telah menunjukkan komitmen, disiplin dan profesionalisme yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia.

“Kecekalan dan semangat juang anggota TLDM menjadi benteng utama dalam memastikan negara kita aman dan sejahtera.

“Saya mendoakan agar TLDM terus maju, diperkasakan dengan teknologi dan kepakaran semasa, serta terus menjadi angkatan laut yang disegani di rantau ini,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini, sempena sambutan Hari TLDM ke-91, esok.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain sebelum ini memaklumkan sambutan Hari TLDM ke-91 di Pangkalan TLDM Lumut esok, akan diadakan secara sederhana.

Beliau berkata perkara itu bagi menghormati tragedi tahun lepas melibatkan dua helikopter milik TLDM bertembung ketika raptai persembahan mengakibatkan 10 warganya maut.

Tema sambutan Hari TLDM ke-91 tahun ini sama seperti tahun lepas iaitu “TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan