AM > BERITA

USIM Universiti Pilihan Majikan Industri

27/04/2025 12:30 PM

SEREMBAN, 27 April (Bernama) -- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) antara universiti awam diiktiraf sebagai Universiti Pilihan Majikan dalam bidang kebolehpasaran siswazah oleh badan industri ternama, Talentbank.

Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni USIM Prof Dr Mahazan Abdul Mutalib@Taib berkata kejayaan ini ialah hasil sinergi antara kerajaan, pihak industri, semua fakulti serta jabatan di USIM dalam memperkasakan kebolehpasaran lepasan USIM. 

"Ia menjadi pendorong untuk kami terus melahirkan modal insan unggul yang bersedia untuk dunia kerjaya sebenar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM Prof Datuk Dr Nik Salida Suhaila di Kuala Lumpur pada 22 April lepas.

Beliau berkata pengiktirafan ini berasaskan kepada data pengambilan pekerja oleh majikan berprestij di seluruh negara seperti Petronas, Public Bank, CIMB, Maybank, Hartalega dan lain-lain, yang menilai keupayaan USIM melahirkan siswazah berkemahiran tinggi, berkualiti serta berdaya saing.

"Seiring dengan misi USIM untuk melahirkan modal insan berasaskan keilmuan Islam demi kesejahteraan sejagat, kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan integrasi ilmu naqli dan aqli USIM mendapat kepercayaan penuh daripada industri,” katanya.

Malah, ia turut meletakkan USIM setanding dengan universiti terkemuka lain di Malaysia sebagai pengeluar siswazah pilihan utama syarikat-syarikat besar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan