AM > BERITA

RDC Kedua Kelantan Sedia Akses Teknologi Untuk Semua

28/04/2025 11:02 AM

KOTA BHARU, 24 April (Bernama) -- Ruang Daya Cipta (RDC) kedua di Kelantan kini dibuka di sini kepada orang ramai sebagai platform inklusif yang menyediakan akses kepada teknologi, inovasi dan latihan keusahawanan, tanpa mengira latar belakang mahupun tahap celik digital individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berfungsi sebagai ruang terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk mengakses kemudahan teknologi yang sebelum ini hanya tersedia di institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan.

“Kita bawa teknologi yang ada di kolej dan universiti ke sini untuk kegunaan semua. RDC ini bukan sekadar ruang, tapi turut menyediakan latihan berkaitan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) serta keusahawanan.

"Peserta tidak perlu mahir dalam bidang digital atau inovasi kerana latihan dan bimbingan turut disediakan, termasuk makmal, peralatan percetakan 3D, komputer, studio digital, kelengkapan robotik dan dron serta skrin digital bersaiz besar," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian RDC Kota Bharu, di sini.

Sejak dimulakan pada 2021, Sharmila berkata sebanyak 21 RDC telah ditubuhkan di seluruh negara dengan model pelaksanaan berbeza mengikut negeri dan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan. RDC pertama di Kelantan dibuka di Tumpat tahun lepas.

"Setiap negeri mempunyai antara dua hingga tiga RDC, kecuali Perlis yang masih belum memiliki kemudahan itu. Kami sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk RDC di Perlis dan setakat ini Kedah telah mempunyai satu di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata bagi tahun ini, MOSTI mencadangkan pembukaan 10 lagi RDC baharu di beberapa negeri termasuk Pahang, Putrajaya dan Sarawak dengan kos bagi setiap RDC dianggarkan sebanyak RM300,000 meliputi peralatan dan kemudahan lengkap.

"Sehingga kini, lebih 13,000 individu telah menggunakan kemudahan RDC di seluruh negara manakala lebih 11,000 telah menyertai pelbagai latihan yang ditawarkan. Golongan sasaran termasuk murid sekolah, wanita dan penjawat awam.

“Contohnya, ada penjawat awam yang ingin menghasilkan produk inovasi jabatan mereka. Dengan kemudahan lengkap di RDC, mereka boleh menjadikan idea itu kepada realiti bukan sekadar prototaip malah projek yang boleh dilihat dan dinilai,” katanya.

Beliau berkata kesemua RDC turut dilengkapi internet berkelajuan tinggi sebagai syarat utama pelaksanaan dan perlu disediakan secara percuma memandangkan segala peralatan dan fasilitator akan dihantar ke lokasi oleh pihak pelaksana.

"RDC turut merangkumi komponen seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan teknologi pintar lain sebagai sebahagian daripada misi memperluas akses teknologi kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan